Semangat padanya...

Terubat rasa rindu ini bila bersua dengannya beberapa hari lalu. Pertemuan yang sering kami rancang tapi kerap kali tertangguh. Selepas setahun berlalu, dengan keizinanNya akhirnya kami bersua kembali. Ya, mungkin ada yang berpendapat setahun itu bukan tempoh yang lama. Tetapi setahun itulah telah merencanakan pelbagai cerita tentang dirinya, suka mahupun duka.

Tatkala mendengar suaranya memberi salam depan pintu rumahku, aku menyahut salam itu dengan nada penuh gembira dan jujur aku melompat bila melihat dia sudah berada didepan mataku. Ku peluk erat dirinya, ku rasa satu semangat sangat kuat dalam dirinya. Dinyatakannya rindunya padaku, aku jua begitu. Senyuman yang cukup manis bertambah manis apatah lagi kini dia memang semakin cantik. Katanya itu hanya kuasa calitan. Biasa-biasa sahaja. Tapi bagiku, dia tetap cantik lagi-lagi bila dia merendah diri.

Pertemuan yang hanya memakan masa 3 jam telah membuka satu cerita yang sangat mengejutkan. Sangat-sangat mengecewakan atau lebih membawa makna yang mendukakan. Mendengar kisah itu, aku lebih banyak mendiamkan diri. Dengan tidak langsung, telingaku sengaja ku pinjamkan padanya, dan hatiku menyelami sebaik-baik kisahnya. Hampir sahaja air mataku mengalir, tapi ku lihat dia masih tersenyum manis. Serta merta ku tahan air mata ku daripada mengalir.

Aku tidak ragu padanya, kerana aku cukup kenal dirinya. Seorang wanita yang memang cukup kuat. Melalui semua ketentuan Allah s.w.t dengan senyuman yang tidak pernah lekang. Ya, dia memang wanita cantik. Mengapa aku mengatakan dia wanita cantik, kerana kecantikan yang ada dalam dirinya tergambar seperti ini...

1.Melukis kekuatan melalui masalah
2.Tersenyum saat tertekan
3.Tertawa saat hati sedang menangis
4.Tabah di saat terhina
5.Mempersona kerana memaafkan
6.Mengasihi tanpa balasan
7.Bertambah kuat dalam doa & pengharapan Ilahi...

Sungguh dia mempunyai ciri-ciri seperti ini, walaupun sebenarnya aku tidak merasakan apa yang sedang dilaluinya. Cuma yang aku tahu, apa yang sedang dihadapinya sangat sukar, sangat susah, dan sangat payah. Mungkin bagi wanita yang lemah, air matalah peneman. Tapi baginya, kekuatan itulah segalanya. Katanya padaku "Dalam hati sebenarnya masih sayang, bukan senang melenyapkan dalam sekelip mata. Tapi daripada meratap, menangis sepanjang malam, apa faedah yang aku dapat. Masa yang sudah berlalu tidak akan datang kembali. Lebih baik aku memikirkan masa depanku dengan anak-anakku..." .  Aku cuma berharap dan berdoa, dia tetap tabah menjalani kehidupan baru bersama si kecil dan si comel yang tidak mengerti apa-apa. Semua yang terjadi ke atas dirinya buat aku berfikir lebih panjang dan lebih dalam tentang maksudnya kehidupan ini, terutama pada diriku yang bergelar perempuan.


Nota: Aku mencontohi semangatmu!

0 comments:

 

Copyright © 2010 Keep shining, keep smile!, All Rights Reserved. Design by DZignine